Tuesday, 16 August 2011

Ramai guru sakit jiwa


Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
nor.afzan@kosmo.com.my

Profesion perguruan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental.

PESAKIT mental terpaksa berjumpa pakar psikiatri secara berkala.

BEBANAN kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan.

Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan.

Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.

Bagi Noreha (bukan nama sebenar), selain terpaksa berdepan dengan masalah rumah tangga, dia turut tertekan dengan kerenah pengetua sekolah tempatnya bertugas.

Guru berusia 46 tahun itu yang ditemui di Wad Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, dek kerana tekanan, dia sering diketepikan dalam pelbagai aktiviti sekolah.

"Sebelum ini saya memang sudah mengalami tekanan. Pengetua pula selalu mempertikaikan cuti yang saya pohon sedangkan surat daripada doktor disertakan.

"Bila kerja semakin bertambah, dicampur pula dengan tekanan daripada orang atas dan kerenah anak-anak, saya semakin runsing," katanya.

Noreha yang merupakan penanda kertas peperiksaan Matematik untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memberitahu, dia sebenarnya seronok menjadi guru.

"Saya memang suka mengajar, lebih-lebih lagi apabila murid banyak bertanya dan cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi keadaan sekeliling seperti pengurusan sekolah dan rakan sejawatan banyak memberi tekanan.

"Ada juga yang faham keadaan saya, tetapi lebih ramai yang mengatakan saya gila. Mereka tidak faham mengapa saya perlu cuti untuk pergi berjumpa pakar psikiatri. Mereka juga anggap saya terlalu ikutkan perasaan," jelasnya.


HARAPAN yang tinggi terhadap keputusan peperiksaan pelajar turut memberi tekanan kepada golongan guru.

Noreha yang berasal dari Pulau Pinang tidak menafikan pihak sekolah ada memberi pelepasan kepadanya tetapi apa yang menyesakkan fikirannya ialah cutinya sering menjadi buah mulut orang.
Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan tekanan yang dialaminya sebagai alasan untuk bercuti.

"Secara fizikalnya saya memang sihat, tetapi dalaman saya berkecamuk. Saya bukan buat-buat sakit. Ikutkan hati, saya tak mahu masuk hospital dan tinggalkan keluarga dan kerjaya saya," katanya.

Ibu kepada dua orang anak ini juga memberitahu, dia cuba untuk mengawal perasaannya daripada terus tertekan, tetapi adakalanya semakin dia cuba untuk tenang, semakin agresif pula jadinya.

"Kadang-kadang saya tak rasa tertekan. Saya rasa sihat, tetapi orang sekeliling tak anggap begitu, mereka mula sorokkan pisau. Kebelakangan ini saya kerap dimasukkan ke wad berbanding dulu," katanya.


Kerja tujuh hari seminggu

Berbeza dengan Norehan, akibat terbeban dengan kerja sebagai guru JQAF, Zaimah Mishan, 42, pernah mengalami sakit jiwa.

Dia yang mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk menanggung beban tersebut lebih-lebih lagi banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding bersama keluarga.

"Saya pernah mengalami masalah jiwa iaitu kecelaruan bipolar sehingga saya tidak mampu mengajar. Enam bulan saya dirawat dan direhatkan.

"Ramai melihat guru JQAF tidak banyak kerja memandangkan mereka hanya mengajar agama tidak seperti sekolah aliran kebangsaan. Namun, mereka juga dibebani dengan komitmen luar," katanya.

Zaimah yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah berkata, ada pengurusan sekolah yang memahami tanggungjawab guru JQAF namun ada juga sekolah yang menyamakan guru JQAF seperti guru-guru lain.

"Semasa saya mengajar di sekolah A, saya pernah bekerja tujuh hari seminggu, dari pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak.

"Hari Isnin hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa. Kadang-kadang saya diminta menggantikan guru lain mengajar subjek bukan aliran JQAF.

"Hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua guru terlibat dan hari Ahad pula saya selaku guru JQAF diwajibkan terlibat dalam Kem Bestari Solat," katanya.
Menurut Zaimah, beban terlalu berat yang tidak dipantau oleh pegawai yang sepatutnya itu ternyata memberi kesan kepada guru-guru JQAF.

"Kami terbeban, tersepit, letih, dan hampir kena mental block. Masa yang ada untuk berehat ialah waktu malam, itu pun kami terpaksa bawa pulang buku latihan murid-murid untuk ditanda.

"Itu tidak termasuk kursus atau kertas kerja yang perlu dibereskan untuk aktiviti gerak kerja," katanya.

Zaimah yang baru lima bulan mengajar semula selepas bercuti panjang menjelaskan, keadaan dirinya ketika 'sakit' dahulu bertambah teruk lebih-lebih lagi apabila suaminya berkahwin lain dan anak-anak enggan berjumpa dengannya.

"Bila saya tertekan dengan kerja, suami kata dia nak kahwin lain dengan alasan saya terlalu sibuk dengan kerja. Keadaan saya bertambah teruk waktu itu.

"Bila sakit saya datang, anak-anak tidak mahu dekat dengan saya. Hanya keluarga saya yang datang memberi sokongan untuk saya jalani terapi dan rawatan di hospital.

"Selepas bercuti lama, saya mengajar di sekolah lain. Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan dan sesi kaunseling, saya sudah boleh mengawal tekanan di tempat kerja. Suami dan anak-anak pula sudah kembali pada saya," katanya.


Berisiko mendapat penyakit kritikal

MENURUT Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru.

“Guru sekarang tidak seperti guru zaman dahulu. Guru sekarang terbeban kerana banyak tugasan baru yang perlu dilaksanakan selain mengajar.

“Di samping sibuk dengan aktiviti persatuan, panitia, kelab, rumah sukan, kursus dan gerak kerja luar sekolah, guru-guru juga perlu berdepan dengan tekanan lain.

“Mereka turut berhadapan dengan perangai pelajar dan kerenah ibu bapa serta pengetua yang sentiasa menaruh harapan tinggi untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Ramai ibu bapa, tidak kira di bandar atau di luar bandar, masih menganggap bahawa sekolah dan pusat tuisyen ialah tempat untuk mendidik anak mereka dan menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru.

Apabila ada anak yang gagal, sesetengah ibu bapa terus menuding jari kepada guru sedangkan kejayaan para pelajar tidak hanya bergantung kepada pengajaran di sekolah.

Bercakap mengenai gejala tekanan yang sering dialami oleh pesakit-pesakitnya yang juga guru, Nor Zuraida memberitahu, kebanyakan mereka menghidap kecelaruan bipolar iaitu kewujudan pelbagai karakter yang berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti kebimbangan melampau dan kemurungan.

“Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa, malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup.

“Tetapi kerja yang dilakukan tidak pernah habis dan ini yang mendatangkan sangsi kepada orang di sekeliling mereka,” katanya.

Tiga faktor utama yang menyebabkan tekanan ialah keturunan, faktor sekeliling seperti kerja dan jaringan sosial seperti keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

Sekiranya terdapat keturunan yang mempunyai masalah jiwa, risiko untuk guru mendapat tekanan menjadi lebih tinggi.

Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

“Tanda-tanda awal penyakit ini bermula dengan kemurungan. Guru akan mula hilang tumpuan mengajar, bosan, pendiam dan jika berlarutan mereka tidak mampu lagi untuk mengajar dan melakukan aktiviti harian.

“Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan sekolah perlu memahami dan membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling,” jelas Nor Zuraida.


Sumber: Kosmo! Online



No comments:

Post a Comment